Ketika mana saya membaca sebuah buku karya seorang novelis Brazil iaitu Paulo Coelho yang bertajuk “O Alquimsto” atau lebih dikenali sebagai The Alchemist, saya menemukan beberapa pengajaran penting yang dapat dipelajari dan dihayati ketika mana saya mengembara dalam kisah seorang pengembala yang sedang mencari erti sebuah kehidupan.
Seterusnya, setiap daripada kita ada cita dan impian. Tapi dalam merealisasikan itu banyak rintangan yang akan mendatang. Maka yang tinggal dalam mengejar cita adalah orang yang kental dalam mengharungi cabaran. Di kala sang gembala buntu samaada mahu mencari harta kekayaan hasil tilikan seorang perempuan tua atau terus menjadi gembala dan melamar gadis idaman, maka datang si tua tadi membuka minda bahawa cita bila berlanjutan akan menjadi angan-angan dan membawa kepada kekesalan. Maka dengan itu sang gembala terus nekad melakukan langkah pertama demi mencapai cita-cita. Demi mencapai impian perlu ada tekad dan kesabaran yang tinggi dan harus sentiasa cekal dalam mengharungi segala rintangan dan cabaran.
Kegagalan kadang meragut semangat, dan ini menghentikan cita dan impian. Jangan pernah berputus asa kerana ada hikmah dalam kegagalan yang dihadapi. Dalam kisah pengembaraan pemuda dan harta karunnya, ada beberapa momen getir yang dihadapinya antaranya ketika mana perbelanjaan untuk meneruskan perjalanannya dicuri orang menyebabkan dia hampir berputus asa. Tetapi nekad dan iltizam yang tinggi menyebabkan dia berusaha untuk mencari dana bagi membolehkan dirinya meneruskan perjalanan mencari makna hidup. Ini menunjukkan dalam kehidupan kita dalam mencapai cita tidak selalunya dihamparkan dengan karpet merah tapi adakala terpaksa merentas hutan yang gelap dan dipenuhi duri. Kegagalan menyebabkan kita kental dalam menghadapi cabaran, membolehkan kita lebih cekal dan panjang akal dalam mengatur rentak hidup.
Dalam masa yang sama, Panlo Coelho juga menerapkan di dalam novel in bahawa setap individu itu perlu prihatin dan terbuka untuk mempelajari perkara baharu. Dalam kisah ini dapat diperhatikan ketika mana si pemuda merentasi padang pasir yang luas dan panas itu, dia selalu bertafakur dengan apa yang boleh dipelajarinya daripada alam itu. Pengajaran tidak semua datangnya daripada pendidkan formal, tetapi kadang-kadang ia datang daripada pengalaman kehidupan itu sendiri. Ini bermakna, kita dapat memahami apa itu kehidupan bila-bila masa, tetapi kita perlu sentiasa prihatin dan terbuka dalam memahami sesuatu perkara.
Jangan selalu difikir akan apa yang akan terjadi dan jangan terus dikenang kesalahan yang telah dilakukan kerana masa kini perlu dinikmati dengan sebaiknya. Inilah intipati yang ingin disampaikan oleh sang gembala dalam kisah pengembaraannya. Memikirkan perkara yang belum terjadi sesuatu yang merugikan. Ini tidak bermaksud jangan melakukan apa-apa perancang. Tetapi kadang kala perancangan itu tidak berjalan dengan apa yang terbuku di hati. Maka, jangan pernah risau dengan apa yang belum lagi berlaku dan jangan pernah kesali dengan apa yang telah berlaku. Kerana tiada apa yang akan berlaku dengan terlalu memikirkan tentang perkara yang lepas dan perkara yang akan datang malah menyebabkan kerisauan dan menyebabkan kegagalan pada masa kini. Maka, berhadapanlah pada masa sekarang dan nikmatilah ia dengan sepenuhnya.
Akhir sekali, gembala itu mendapat pengajaran daripada sang raja tentang kisah lelaki yang paling bijaksana. Kisah seorang pemuda yang diarahkan menbawa membawa sudu yang berisikan minyak mengelilingi istana. Mesej yang ingin disampaikan kepada pemuda tersebut adalah menikmati apa yang berada dihadapan tanpa melupakan tanggungjawab yang dipikul. Kadang kala kita terlalu mengejar impian sehingga segala perkara yang indah disekeliling diabaikan demi mencapai cita. Dan ada diantara kita yang terlalu leka menikmati keindahan sehingga terlupa tujuan asal kehidupan. Maka perlu seimbang diantara keduanya. Hidup ini sekali tetapi jangan pernah terleka dan terlupa dengan apa yang ada disekeliling kita dan hargailah semuanya.
-Alauddin Khudzri-

No comments:
Post a Comment