"Orang yang biasa-biasa dia akan hidup untuk diri sendiri, orang yang luar biasa akan hidup untuk ummah!"
Pesanan yang disampaikan kepada penulis oleh seniornya, Akhi Hamzah, seorang pelajar Phd Sains Kejuruteraan sewaktu zaman pengajiannya di Universiti Malaya merupakan salah satu quote yang dihighlightkan oleh penulis dalam nukilannya yang kupegang sekarang ni. Secara keseluruhannya, buku 'Mahasiswa Bukan Robot' yang dibawakan oleh Saudara Amirul Eqhwan ini secara tak langsung begitu jelas mengupas isu-isu mahasiswa kini dalam menempuh cabaran dan dugaan selari dengan arus kemodenan yang berkembang tidak berkesudahan.
Pada bahagian prolog buku ini, penulis memulakan penulisannya dengan menyatakan empat (4) ciri utama yang dibawa oleh Imam Hassan al-Banna yang perlu ada dalam jiwa pemuda-pemudi Islam: Iman, Ikhlas , Hamaasah (Semangat) dan Amal (Zahir dalam tindakan). Keempat-empat ciri utama ini harus diintegrasikan dan diimplementasikan dalam kehidupan mahasiswa Islam bagi mencari keredhaan Allah SWT sekaligus mencapai kejayaan dalam hidup duniawi dan ukhrawi, In shaa allah.
Bermodalkan 49 subtopik , gaya penulisan yang dibawa oleh penulis cukup ringkas, malah sependek-pendek patah perkataan yang diungkapkan juga tak sampai tiga baris; akan tetapi mesej yang cuba disampaikan oleh beliau begitu mengetuk hati dan minda diri ini sebagai seorang pelajar universiti, yang barangkali masih leka diulit dengan kemewahan hidup yang fana' ini. Penulis turut berkongsi kisah silam beliau sebagai mahasiswa universiti yang turut tidak terlepas melalui 'zon selesa' sedemikian, namun berbekalkan pengalaman dan nasihat kehidupan mendorong penulis untuk bangkit dari tidur yang lena dan memperjuangkan semangat Melayu-Islam sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu: Datuk Bahaman, Tok Janggut, Tok Kenali, Datuk Maharajalela dalam usaha mempertahankan kesucian Islam serta kedaulatan Tanah Melayu daripada anasir-anasir Barat.
Tidak lupa juga, penulis turut mengupas beberapa isu semasa yang sering membelenggu masyarakat dan menyasarkan golongan muda seperti mahasiswa ini sebagai pemudahcara agenda mereka. Antaranya termasuklah isu liberalisme (lebih berfokuskan kepada kebebasan bersuara), knowledge secularisation (memisahkan agama daripada ilmu pengetahuan), politik Malaysia dan mahasiswa, persoalan status negara Malaysia sebagai negara Islam atau negara sekular dan banyak lagi isu yang dilontarkan. Hal ini sengaja dibangkitkan oleh penulis supaya mahasiswa cakna akan apa yang berlaku di sekeliling, tidak sekadar mengejar pointer dan merit semata-mata; bahkan mengajak mereka untuk menambah nilai-nilai insaniah (soft skills) untuk manfaat kehidupan masa depan. Hal ini bertepatan dengan sebab tajuk buku ini dipilih, kerana mahasiswa bukanlah robot yang hanya menunggu dirinya diprogramkan untuk mula bergerak.
Tuntasnya, mahasiswa khasnya mahasiswa Islam sepatutnya seimbang dari aspek akademik, insaniah dan rohaninya bagi menjadikan diri mereka kuat bukan semata-mata untuk kepentingan diri, bahkan untuk kesejahteraan ummah yang dicintai. Makanya, rating yang saya berikan untuk buku ini ialah 9/10 dan amat mencadangkan anda untuk membaca buku karya Saudara Amirul Eqhwan ini. Baca dan nilai sendiri! :)
Atikah Z
2250
03042020

Saya mohon untuk berbeza saudari... Bagi saya sangat setuju dengan secularism.. Saudari cuba lihat wasap2 keluarga.. penuh dengan hoax yang beunsurkan agama dengan kehidupan yang tiada asas.. contoh semasa isu 3333.. Ini menyebabkan maruah agama itu jatuh serendah rendahnya.. bagi saya secularism itu perlu... Mohon maaf kerana berbeza..
ReplyDeleteTerima kasih saudara kerana sudi memberi pandangan :). Namun begitu, suka untuk saya jelaskan di sini bahawa pembawaan unsur agama dan perkaitannya dalam kehidupan manusia dari segenap aspek amat penting dan tak boleh dipisahkan. Malah, pengaplikasiannya haruslah berasas dan bertepatan dengan sebab asal sesuatu perkara itu bermula; justeru penyampaian sesuatu fakta itu perlu berhujahkan dalil/bukti yang kena pada tempatnya, tidak mengemukakan sesuatu hujah secara semberono seperti situasi yang saudara bawa. Apabila asas pengambilan hujah ini terjaga, maka tiadalah alasan agama sebagai batu penghalang untuk kita khususnya masyarakat Islam untuk maju ke hadapan setara dengan masyarakat yang lain, dan isu-isu seperti hoax 3333 itu takkan berlaku. Perkara yang perlu dititikberatkan ialah cara kita berunding dengan sesuatu medium tersebut,kalau dibawa dengan cara yang betul maka hasilnya pun pastinya bagus dan baik manfaatnya. Sekian :)
DeleteSemoga saudara jelas dengan penerangan saya ttg sebab saya menolak secularism, terima kasih sekali lagi kerana sudi mencurahkan pendapat saudara...
ReplyDelete