Wednesday, April 1, 2020

SAJAK: NIKMAT YANG TIDAK DIDENDANG


NIKMAT YANG TIDAK DIDENDANG
(Pesanan buat mereka yang masih menafikan nikmat Rabb al-Jalil)
Suatu ketika dahulu
Dengan rahmat Tuhan-ku
Dengan nama-Nya ku mulai langkahku
Bertatih gusar menanggung pilu
Kerna bakal meninggalkanMu

Ku meratap mengenangkan nasibku
Merayau tanpa hala tuju
'Kan tetapi, janji Tuhan seraya memujukku
"Kan ku jaga kau selalu
Tanpa mengira tempat dan waktu
Andai tiba masanya itu
Kan kau kembali datangi diriKu"

Ku merantau di segenap penjuru
Di bumi Tuhan yang ku tuju
Ke mana saja ku berlalu
Kebahagiaan makhluk yang kutumpu
Memenuhi amanat rahmat Tuhanku

Namun,
Tidak semua yang menghargai kedatanganku
Sepah dibuang bila habisnya madu
Rakus sekali mempergunakanku
Menghabiskan kudrat dan waktu
Hanya untuk kepentingan dirimu

Masihkah kau ingat
Suatu masa dulu
Tatkala Muhammad yang Kuutus mendatangimu
Menyampaikan pesan tak kira lesu
"Jagalah sihat dirimu dan waktu lapangmu"
Tapi masih saja kau membantah
Wahai Bani Adam, apa lagi yang kau mahu?!

Bukalah matamu lihat apa yang berlaku
Pabila diabai syariat Tuhanmu
Pabila jiwa bertuhankan Nafsu
Pabila kemungkaran di singgahsananya berteleku
Berwaspadalah
Bala yang sedang menunggu
Buat mereka yang buat-buat tak tahu

Bukalah akalmu yang jumud itu
Luaskan pandanganmu ke sekelilingmu
Berapa ramaikah yang meratap merayu
Meminta ihsan atas kezalimanmu
Sampai bila mahu bertegak atas egomu
Adakah sehingga ajal memanggilmu?

Oh Tuhan.. ku merayu padamu
Bawaku pergi dari dunia durjana ini
Kerna ku tak sanggup melihat mafsadah yang membelenggu
Makin terhakis kesabaranku
Bermujadalah dengan manusia yang ego menggunung
Dengan yang berhak hanya membisu
Ambillah daku
Kerna aku cumalah nikmat yang tidak didendang!

Atika Zulbaha
1400hrs
24032020
Diposkan buat tatapan pembaca The Write Path, 01042020

3 comments:

  1. X pahamla saudari... Boleh terangkan x rangkap by rangkap?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana sudi bertanya :)

      RANGKAP 1: Overall, sajak ini nak menceritakan tentang 'nikmat' yang digambarkan sebagai utusan daripada Allah buat sekalian makhluk-Nya. Sebagaimana manusia yang berat hati tatkala nak melepaskan tangan yang dicintainya, begitu jugalah 'nikmat' yang berat hati nak meninggalkan Tuhan yang dikasihinya.

      RANGKAP 2: Meskipun 'nikmat' berasa sedih untuk berpisah dengan Tuhannya, dia percaya dengan janji Tuhan yang sentiasa menjaganya, dia percaya suatu hari nanti dia akan pulang kembali menemui Tuhannya.

      RANGKAP 3:Disampaikan dalam bentuk analogi kehidupan manusia,'nikmat' ini digambarkan sebagai seorang manusia perantau yang mengembara ke seluruh dunia dengan membawa amanat membahagiakan manusia di muka bumi.

      RANGKAP 4&5: Namun begitu, kebahagiaan yang dibawa tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. Manusia mulai kufur nikmat dengan berlaku tamak, sanggup melakukan kezaliman semata-mata untuk keuntungan dirinya sendiri,sebagaimana Nabi Muhammad yang tidak lelah menyampaikan risalah-Nya kepada ummatnya, sekalipun ajaran baginda sering dibantah habis-habisan. Dalam sajak ini juga, penulis suka untuk membangkitkan tentang mesej nikmat yang dibawa dalam sabda Nabi SAW berdasarkan suatu hadis baginda: "Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia: NIKMAT SIHAT & MASA LAPANG"(Riwayat Bukhari)

      RANGKAP 6:'Nikmat'mengingatkan manusia supaya berwaspada akan bala yang bakal tiba sekiranya manusia tidak mengendahkan amaran serta terus melakukan kezaliman dan kemungkaran di atas muka bumi.

      RANGKAP 7: Pesanan kepada manusia bahawa kezaliman yang dilakukan sedemikian akan menganiayai orang-orang yang berada disekililingnya, menyebabkan mereka menderita oleh sikapnya yang ego dan tidak berkeperimanusiaan.

      RANGKAP 8: Disebabkan kedegilan manusia yang memuncak dan suka membantah,'nikmat' sudah tidak mampu bertahan dengan tekanan tersebut dan merayu kepada Tuhan untuk mengambilnya kembali keluar dari dunia manusia yang kejam ini.Baginya, sudah tidak ada guna baginya untuk terus berada di sini kerana kedatangannya sudah tidak lagi dihargai oleh manusia dengan sebaiknya.

      Delete
  2. wow mendalamnya... TQ kerana sudi terang.. :)

    ReplyDelete

Hilang (A Review)

"Ku mencari dan terus mencari diriku yang hilang Baruku sedar, yang hilang itu adalah cintaku padaNya" Alhamdulillah, f...