Sunday, April 19, 2020

Pelajar Cemerlang Di Universiti Berdasarkan Naqli Dan Aqli ( A Review)

Assalamualaikum dan helo bibliophiles sekalian!
Diharapkan semoga kalian berada dalam keadaan sihat-sihat sahaja baik di kampung mahupun yang terkandas di kampus   menjelang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilanjutkan sehingga 28 April 2020 ini (Moga kes virus Covid-19 yang berlaku sekarang ini akan berkurang dan keadaan akan kembali seperti biasa, semoga dipermudahkan hendak-Nya! :) ). Khasnya kepada yang sedang terkandas di kampus tu, jangan bersedih kerana saya juga seperti anda juga :') Jadi manfaatkan masa yang ada ini dengan sebaik mungkin ya!

Oraitt, back to the story..alang-alang dah tak tahu nak buat apa kan, nak hadam buku subjek pun dah sampai habis dihadamnya kita dengan buku ni (korang faham2 la ya), rasa nak cari taste lain pulak nak luangkan masa yang ada ini, aku cuba capailah buku-buku lain untuk aku tatap (banyak sebenarnya buku yang aku simpan ni..memandangkan aku suka sangat beli buku tapi sampai kesudah aku tak bukak hahaha)

Kali ni, mata aku tertarik bila nampak buku ni ihiks O.O


Buku yang aku pilih untuk pembacaan kali ini bertajuk "Pelajar Cemerlang di Universiti Berdasarkan Naqli dan Aqli", karangan Mohd Faisol Ibrahim. Buku ini merupakan salah satu nukilan dan terbitan alma mater aku sekarang ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Setebal 126 muka surat, seingat aku aku beli buku ini dari Kedai Buku USIM sendiri.  Tajuknya agak mengena bagi aku  memandangkan matlamat  USIM sendiri adalah untuk melahirkan mahasiswa yang seimbang secara holistik dalam ilmu naqli (ilmu berlandaskan wahyu) dan juga aqli (ilmu berteraskan akal).

Buku ini memuatkan 7 bab utama yang difokuskan kepada pelajar untuk cemerlang dalam akademik dan kemahiran insaniah. Pengarang memulakan penulisan buku ini dengan memberi ilustrasi tentang senario perbandingan pandangan terhadap pelajar universiti dahulu dan kini. Jika dahulu, kejayaan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading itu merupakan salah satu agenda utama yang diterapkan dalam fikiran anak-anak sebagai penanda aras kejayaan dalam hidup. Bahkan, tawaran biasiswa pada masa dulu juga sangat banyak memandangkan graduan lepasan universiti juga mendapat banyak permintaan dalam pasaran kerja pelbagai bidang.

Namun kini, literasi generasi muda yang kian meningkat menyebabkan senario ini menjadi suatu yang biasa di mata masyarakat.Di samping itu, persaingan antara graduan untuk masuk ke dalam pasaran pekerjaan juga semakin meningkat kerana majikan ingin mencari graduan yang punya kelebihan atau 'bonus' yang mampu menguntungkan organisasi, dalam erti kata lain 'lain dari yang lain'. Jadi, kejayaan dari menara gading kini sudah tidak menjadi tanda tanya oleh masyarakat kepada graduan, tetapi persoalannya adalah apakah sumbangan yang boleh diberikan mereka kepada masyarakat kelak.

                            Sumber: Internet
 
Antara isu menarik lain yang dikupas dalam buku ini ialah perbezaan antara terma 'tekun belajar' dan 'bijak belajar'. Penulis membangkitkan persoalan mengapa seseorang pelajar yang sangat tekun belajar tetapi keputusan yang diperoleh biasa-biasa sahaja, berbanding dengan suatu situasi yang lain seorang pelajar yang belajarnya  biasa-biasa sahaja tapi keputusan yang diperoleh luar biasa. Hal ini kerana kegagalan pelajar untuk memahami perbezaan antara dua terma ini. Pelajar yang tekun belajar tapi gagal merancang gaya dan kemahiran belajar yang betul akan gagal mendapatkan keputusan yang baik dalam pelajarannya. Terma ' bijak belajar ' yang dimaksudkan ini didefinisikan sebagai suatu proses pengurusan kemahiran pelajaran yang merangkumi 6 kemahiran:
1. Kemahiran mengurus masa
2. Kemahiran mencatat nota
3. Kemahiran membaca
4. Kemahiran mencatat
5. Kemahiran membuat rujukan
6. Kemahiran Mendengar

Di samping itu juga, penulis menggariskan 11 kunci kecemerlangan pelajar Islam di Universiti, iaitu:
1. Kunci Ilmu-melihat, mendengar dan bertanya
2. Kunci Kejayaan-Usaha, Tawakkal,Sabar & Istiqamah
3. Kunci Ingatan-Solat, Doa dan Syukur
4.Kunci Kesejahteraan Dunia Akhirat - Ibadan
5. Kunci Permintaan - DOA
6. Kunci Ketenangan-al-Quran, Ibubapa dan cinta akan masjid
7. Kunci keberkatan- ikhlas dan redha
8. Kunci Hubungan manusia- Memberi salam / Bertegur sapa
9. Kunci Kebaikan- Benar, Amanah, Menyampaikan dan Bijaksana
10. Kunci Kerjaya- PNGK cemerlang, Kemahiran Insaniah tinggi.

Kemahiran insaniah atau dipanggil sebagai soft skills ini merangkumi: Komunikasi, Kepimpinan, Kerja Berkumpulan, Nilai dan Etika serta Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Seterusnya, penulis melampirkan bersama kisah-kisah kejayaan daripada alumni USIM sendiri yang telah berjaya menamatkan pengajian dan berjaya menempatkan diri dalam bidang kepakaran mereka serta berkhidmat kepada masyarakat. Pada bahagian ini, saya berasa amat terpegun membaca kisah perjalanan hidup mereka sepanjang bergelar sebagai seorang pelajar dengan keputusan akhir mereka yang begitu cemerlang.

Lebih menarik, saya turut menjumpai kisah kejayaan hidup milik pensyarah yang mengajar kelas saya kini dalam subjek Nahu Bahasa Arab (Syntax), iaitu Dr. Nizwan bin Musling yang juga merupakan salah seorang alumni USIM. Kisahnya amat penuh dengan inspirasi buat saya untuk mengorak langkah mengikuti jejak beliau untuk mendalami ilmu pengetahuan khasnya dalam bidang Bahasa Arab..doakan saya supaya turut berjaya dengan izin-Nya, in shaa Allah :')

 
Bergambar bersama pensyarah kami, Dr Nizwan (di tengah) pada semester lepas
         
Dalam bab terakhir buku ini, penulis mengupas kembali dengan lebih ringkas tentang konsep naqli dan aqli serta pengaplikasiannya dalam pembangunan holistik pelajar. Penulis menukilkan pendapat Imam Ghazali yang menyatakan dengan tegas perkaitan rapat antara dalil Naqli dan Aqli bagi seseorang penuntut ilmu. Justeru, seseorang yang bertaqlid ( menerima sesuatu pandangan tanpa asas yang kukuh) itu dianggap sebagai seorang yang bodoh; begitu juga seseorang yang bermegahan dengan ilmu yang dimilikinya tetapi mengenepikan panduan utama Islam seperti al-Quran dan as-Sunnah juga merupakan suatu kepalsuan bagi dirinya, kerana kejayaan yang dikecapi sedemikian itu hanyalah sementara manakala kejayaan yang kekal dan pasti itu adalah dengan meraih keredhaan Allah SWT.

Tuntasnya, kesimpulan yang saya dapat daripada pembacaan saya mendapati bahawa kecemerlangan seseorang pelajar khususnya tidaklah hanya terletak pada skrol ijazah yang bakal digenggam semata-mata, akan tetapi kejayaan seseorang itu nilainya turut terletak pada nilai modal insan yang sejahtera dalam semua aspek baik pada jasmani, emosi, rohani dan insani. Nasihat yang diberikan bukan untuk pelajar Islam sahaja, malah sesuai diaplikasikan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latarbelakang agama. Semoga perkongsian ini mampu memberi manfaat buat kita semua  dalam usaha mempersiapkan diri until berkhidmat buat agama, bangsa, masyarakat dan negara suatu hari nanti, bak kata pepatah: " Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara".

Ranking: 10/10

Sekian, terima kasih.

Atikah Z

No comments:

Post a Comment

Hilang (A Review)

"Ku mencari dan terus mencari diriku yang hilang Baruku sedar, yang hilang itu adalah cintaku padaNya" Alhamdulillah, f...